Sunday 25 September 2011

Kekangan Merealisasikan TMK Dalam Pengajaran dan Pembelajaran BM

Kekangan yang dihadapi oleh guru bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu melalui TMK dan cara-cara mengatasinya
Pengenalan
Penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan pada masa kini telah menjadi sesuatu yang penting dan semakin meluas sama ada dalam bidang perniagaan, pembangunan dan kini mula digunakan dalam bidang pendidikan. Pengintegrasian teknologi maklumat dalam bidang pendidikan kini semakin dititik beratkan oleh kerajaan. Dipercayai dengan menggunakan teknologi maklumat dalam pendidikan secara menyeluruh mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk mendapatkan maklumat dengan berkesan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pendidikan.
Pengintergrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi(TMK) memberi manfaat serta impak yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah. Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru Bahasa Melayu. Namun begitu, terdapat pelbagi masalah yang menjadi kekangan bagi memanipulasikan teknologi ini.
Definisi Teknologi Maklumat
Teknologi maklumat merupakan satu alat utama dalam era maklumat. Alat ini digunakan untuk mencapai, menyimpan dan menyebar maklumat terutama maklumat berbentuk digital. Teknologi maklumat merujuk kepada penggunaan pelbagai item dan keupayaan dalam penciptaan, penyimpanan dan penyebaran maklumat. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk. Pada masa kini, istilah teknologi maklumat telah diperluaskan kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau dikenali sebagai TMK.
            Menurut Senn(1998) teknologi maklumat mengandungi tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu guna. Gabungan ketiga-tiga komponen ini memberi peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan berjaya. Ketiga-tiga komponen ini tidak boleh terpisah. Komputer dan rangkaian komputer tidak berguna jika kita tidak pandai menggunakannya.
Kepentingan Teknologi Maklumat
Kepentingan penggunaan elemen Teknologi Maklumat (IT) dalam kehidupan harian tidak boleh dinafikan. Kemajuan teknologi dalam dunia pendidikan masa kini telah memaksa golongan pendidik melengkapkan diri dengan semua kemahiran literasi komputer. Antara kepentingan literasi komputer kepada masyarakat  adalah:
·         Memberi pengetahuan  mengenai perkara-perkara yang menjadi asas kepada pendidikan komputer bagi membolehkan mereka mempertingkatkan diri dalam bidang tersebut.
Pengintegrasian Teknologi Maklumat dalam Pengajaran Bahasa
Pengintegasian teknologi maklumat dalam pengajaran bermaksud proses pengajaran yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta penggunaan bahan bantu mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran bahasa. Contohnya penggunaan e-kamus untuk mencari maksud perkataan.
Kekangan Yang Dihadapi Guru
ICT merupakan sesuatu yang baru dalam bidang pendidikan. Oleh itu, untuk merialisasikan penggunaan ICT dalam pembelajaran, terdapat masalah-masalah yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru. Permasalahan yang timbul dalam pengintegrasian ICT dalam pengajaran bahasa antaranya ialah:
·         Tahap kemahiran guru
·         Penerimaan guru terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
·         Kekangan dalam menghabiskan sukatan pelajaran
·         Kemudahan teknologi tidak mencukupi
·         Sistem selenggaraan yang kurang cekap
Tahap kemahiran guru
Dalam pendidikan hari ini, penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran menjadi sesuatu perkara yang penting bagi guru-guru. Penggunaan ICT ini  dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu meningkatkan kefahaman para pelajar dengan baik. Para pelajar dapat mencari maklumat  dan bahan-bahan pembelajaran dengan mudah dan cepat dengan menggunakan alat teknologi seperti komputer, internet dan sebgainya.
            Untuk mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaraan bahasa, seseorang guru harus mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut agar dapat dilaksanakan dengan lancar dan baik. Walau bagimanapun, masih kurang guru yang benar-benar mahir dalam bidang tersebut. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang berpengalaman dan pendedahan dengan penggunaan ICT, oleh itu, guru tidak mahir untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan ICT. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana penginterasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Guru-guru yang tidak mahir juga akan hilang keyakinan untuk melaksanakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka di kelas atau di makmal komputer.
Penerimaan guru terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
Perubahan sistem pendidikan masa kini memerlukan  guru-guru membuat perubahan dalam kaedah pengajaran mereka. Pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap kemahiran guru menyampaikan sesuatu perkara khususnya dalam pengajaran bahasa. Walau bagimanapun, terdapat segelintir guru bahasa yang masih tidak mahu mengikuti serta mengubah kaedah pengajaran mereka. Terutamanya bagi guru-guru yang telah lama berkhidmat dalam dunia pendidikan, mereka lebih selesa menggunakan kaedah pengajaran yang lebih bertumpukan kepada penggunaan buku teks serta papan tulis dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Sesetengah guru merasakan penggunakan kaedah pengajaran tradisional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkenaan di dalam bilik darjah.
            Terdapat juga guru-guru yang tidak memahami nilai penggunaan teknologi maklumat, ini menyebabkan mereka kurang berminat untuk belajar serta mendalami ilmu teknologi maklumat. Penggunaan teknologi maklumat dirasakan menjadi satu bebanan kepada mereka sewaktu seisi pengajaran dan pembelajaran. Menurut (Norizan Abdul Razak. 1997) dalam kajian kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa membuktikan bahawa guru-guru masih lagi ragu-ragu dan takut untuk menggunakan komputer dalam pengajaran mereka. Terdapat juga guru-guru yang berminat untuk belajar tetapi berputus asa kerana merasakan sukar untuk mengguasai bidang ICT.
Kekangan masa dalam menghabiskan sukatan pelajaran
 Kekangan masa yang dihadapi oleh guru-guru dalam menghabiskan silibus menghalang guru-guru  menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini wujud kerana guru-guru terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyelengara peralatan serta kadang kala menghadapi masalah dalam melayari internet.
Kemudahan teknologi tidak mencukupi
Bagi merialisasikan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran kemudahan seperti makmal komputer dan peralatan berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat harus mencukupi. Terdapat sekolah yang menghadapi masalah kekurangan komputer serta tidak terdapatnya kemudahan internet. Keadaan ini menyebabkan sukar bagi guru-guru untuk mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah.
Sistem Selenggaraan yang Kurang Cekap
            Sistem penyelenggaran bahan teknologi maklumat di sekolah yang tidak cekap menjadi salah satu punca permasalahan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak  dapat dilaksanakan dengan baik.  Peruntukan kewangan yang lambat serta tidak mencukupi untuk proses penyediaan kemudahan teknologi maklumat di sekolah-sekolah juga menjadi punca timbulnya permasalahan dalam proses pengintegrasian.
Cara-cara  Mengatasi Kekangan
 Semua pihak harus memainkan peranan bagi mengatasi masalah-masalah pengintergrasian TMK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah.
Peranan Kerajaan
Kerajaan berperanan dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan ICT untuk mempercepatkan penerimaan mereka dalam penggunaan teknologi maklumt. Kerajaan juga harus memastikan setiap sekolah , mendapat skim peruntukan  kelengkapan makmal komputer yang cukup terutamanya sekolah-sekolah di luar bandar. Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan kursus teknologi maklumat untuk guru-guru di sekolah dan juga yang bakal menjadi tenaga pengajar di sekolah.
Peranan Sekolah
Strategi untuk memantapkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran  bukan hanya terletak dibahu guru, tetapi juga kepada pemimpin sekolah. Dalam membentuk budaya ICT pemimpin harus memberi sokongan dari segi kewangan dan juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons yang positif kepada perubahan. Polisi Secara bertulis harus disediakan oleh pihak pentadbir bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif.
Bagi melaksanakan polisi dan matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus menyediakan pelan pembangunan yang mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti strategi pemantauan dan penilaian spesifikasi tentang pemilihan, pembiayaan serta pembelian  perisian dan perkakasan yang diperlukan.
Selain itu juga, pihak pentadbir harus memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara optimum oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Penggunaan makmal komputer haruslah mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak pentadbir agar tidak berlaku masalah dalam kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT mesti dipantau suapaya budaya menyelenggara alat-alat perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan.
Untuk memberi keyakinan serta mempertingkatkan kemahiran guru dalam mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, pihak pentadbir harus memberi perhatian dalam perkembangan dan pembangunan staf. Perkembangan staf yang melibatkan ICT dan inovasi haruslah berfokus kepada dua bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid.   
Peranan Guru
Teori pembelajaran konstruktivisme memberi tumpuan kepada pembinaaan ilmu oleh individu. Melalui pendekatan teori pembelajaran ini, guru berperanan sebagai fasilitator dalam mengendalikan proses P&P dan menggunakan ICT sebagai alat. Pembelajaran secara penerokaan boleh digunakan oleh guru bagi membolehkan murid-murid mencari dan mengakses maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet.
 Guru juga berperanan memantau penggunaan  aplikasi ICT  dalam pembelajaran oleh murid-murid bagi mengelakkan pemesongan tumpuan murid dalam mencari maklumat yang berkenaan.  Guru harus mengambil peluang melalui kecangihan ICT yang membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi.
Peranan Pelajar
Pelajar menggunakan pemprosesan perkataan untuk menyediakan laporan-laporan atau tugasan yang diberi. Pelajar boleh mengulangi tutorial mengikut keperluan, kemampuan dan kadar sendiri. Pelbagai projek disediakan yang memerlukan pelajar mengakses maklumat daripada ‘World Wide Web’. Penggunaan e-mail memberi peluang kepada pelajar di sekolah yang sama atau dari sekolah lain berkomunikasi                                                                       untuk berkongsi maklumat. 
Peranan Masyarakat
Untuk memantapkan pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan pembelajaran bahasa, sekolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerjaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat. Pusat Sumber pendidikan Negeri dapat menjadi tempat untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT. Perkongsian ilmu antara sekolah dan pihak swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah.
Penutup
Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan perkara yang penting yang perlu dipraktikkan oleh guru-guru. Usaha ke arah pengintergrasian ini memerlukan sokongan daripada pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak.  Pada masa kini guru-guru tidak dapat mengelak daripada penggunaan ICT sama ada dalam pengajaran dan pembelajaran mahupun dalam pengurusan data-data murid di sekolah. Oleh itu, guru-guru harus berusaha mempertingkatkan kemahiran diri dalam bidang ICT sejajar dengan perubahan pendidikan masa kini.

1 comment:

  1. Terima kasih dengan perkongsian yang diberikan. ianya banyak memberi manfaat buat saya. terima kasih ya

    ReplyDelete